mutakhir

Mahasiswa UniSZA, KRT Gong Balai bersih pantai

Oleh Malik Muhamad

MENEMPUH perjalanan sejauh 112 kilometer (km) pergi dan balik tidak menghalang 120 penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kampus Gong Badak, Kuala Terengganu berkampung di Kampung Gong Balai, Merchang, Marang, petang semalam.

Kehadiran Kor-Siskor UniSZA itu bertujuan bergotong-royong membersihkan pesisiran pantai sejauh satu kilometer bersama penduduk kampung dan ahli jawatankuasa Masjid Gong Balai.

Gotong-royong yang turut disertai sepuluh anggota Jabatan Penjara Malaysia, Marang yang diketuai Inspektor Mohd Hafiz Zakaria itu dilakukan bagi membersihkan kawasan pantai itu selepas musim tengkujuh musim lalu.

Penuntut, Nur Liyana Abd Gapar berkata, dia teruja kerana terpilih menyertai program berkenaan yang disifatkan mampu menyemai semangat bantu-membantu serta kebersihan diri dan masyarakat.

"Kami begitu teruja dan berbesar hati dapat mencurah keringat berbakti membersihkan kawasan pantai bersama penduduk Kampung Gong Balai yang dianjurkan dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jabatan Penjara Malaysia.

"Apa yang saya perolehi walaupun terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh adalah satu kepuasan kerana dapat membantu penduduk kampung membersihkan kawasan pantai," katanya.

Rakannya, Mohammad Firdaus Mohd Daud juga mempunyai pandangan sama iaitu menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan bukannya kepada satu pihak saja.

"Apa yang dapat saya kongsikan melalui program ini adalah sikap bantu-membantu dan menjaga alam sekitar daripada pencemaran perlu ada dalam diri setiap masyarakat.

"Selain itu, kesedaran kebersihan diri dan alam sekitar juga harus disemai kepada masyarakat bermula daripada kecil lagi," katanya.

Sementara itu, Setiausaha KRT kampung berkenaan, Azman Mohd Nor berkata, kehadiran mahasiswa dan anggota Jabatan Penjara Malaysia membersihkan kawasan pantai memberi impak positif kepada keseluruhan penduduk yang kebanyakannya nelayan.

"Program ini adalah yang kedua diadakan dengan matlamat menjaga keindahan pantai sebagai salah satu destinasi pelancongan popular.

"Kehadiran mahasiswa bersama penduduk berjaya mengumpul kira-kira empat tan sampah dalam masa tiga jam di sepanjang pantai berkenaan terutama selepas musim tengkujuh pada Disember lalu," katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 2:44pm
d