mutakhir

Hukum penjara dan rotan kerana rompak kapal

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini, mengekalkan hukuman penjara 16 tahun dan lima sebatan rotan terhadap 10 lelaki warga Indonesia selepas mereka mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan ke atas sebuah kapal tangki minyak di perairan Terengganu tiga tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan yang dikemukakan sembilan lelaki terbabit untuk mengurangkan hukuman penjara.

Beliau berkata rayuan yang difailkan sembilan lelaki itu tidak mempunyai merit.

Sembilan lelaki itu ialah Anne Raja, Arsito Mohd Hardi, Kreston Muhaling, La Abu, Bram Ali, Lurther Marnis Zachawerus, Badiun, Meidy Hermanus Wajongkare dan Rollan Kapahese.

Seorang lagi lelaki, Oktemi Supri, mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen Terengganu yang memerintahkan lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan lima sebatan rotan.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengurangkan tempoh hukuman penjara Oktemi kepada 12 tahun dan lima sebatan.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Abu Bakar Jais.

Semua mereka berusia 34 hingga 62 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen melakukan rompakan berkumpulan terhadap kapal MT MGT-1 milik syarikat Marine Global Transport berpangkalan di Thailand sehingga mendatangkan kerugian dan ketakutan terhadap 14 kru kapal itu dengan menggunakan senjata pisau dan parang panjang.

Kesalahan itu dilakukan di perairan Terengganu pada jam 8.30 malam, 6 September 2017. - Bernama

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 5:01pm
d