mutakhir

2 cedera 'main' paragliding

Oleh Recqueal Raimi

WANITA warga China dan jurupandu paragliding tempatan nyaris maut selepas terjatuh dari ketinggian 15 meter di Kompleks Sukan Ranau di Ranau hari ini.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, jurupandu berkenaan, Yusof Mamat, 48, dilaporkan terseliuh kaki kanan manakala wanita terbabit, Zhau Ting, 28, patah tulang paha kanan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib ketika dihubungi berkata, pihaknya dihubungi pada 2.24 petang sebelum tujuh anggota bergegas ke lokasi dengan satu jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Pasukan bomba berjalan sejauh 200 meter ke dalam hutan dari laluan kenderaan dan mendapati kedua-dua mangsa tidak dapat berdiri serta mengadu mengalami kecederaan.

“Kedua-dua mangsa diberi rawatan awal dan diangkat menggunakan pengusung ke jalan raya sebelum dibawa menaiki EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Ranau,” katanya.

Ridwan berkata, kedua-dua mangsa sepatutnya mendarat di kawasan Kompleks Sukan Ranau kira-kira empat kilometer dari lokasi tetapi dilaporkan mengalami masalah teknikal sebelum terjatuh di kawasan hutan berhampiran.

“Mangsa bernasib baik kerana terjatuh di kawasan hutan dan bukan kawasan curam atau sungai,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 7:09pm
d