mutakhir

'Bring it on' - Yusoff Rawther

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

“BRING it on (teruskan saya bersedia),” kata Muhammed Yusoff Rawther mengenai tindakan sivil yang akan diambil Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

Menurutnya, dia kecewa selepas mengetahui keputusan Jabatan Peguam Negara yang tidak akan mendakwa Anwar atas dakwaan serangan seksual kerana kekurangan bukti.

“Saya perlu menegakkan kebenaran walaupun dengan apa kos sekalipun.

“Dalam ramai-ramai peguam yang saya temui, ternyata Haniff (Haniff Khatri) jujur untuk membantu saya,” katanya ringkas pada sidang media di pejabat Haniff di Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, Haniff berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sivil lanjut terhadap Anwar susulan dakwaan gangguan seksual yang berlaku ke atas Muhammed Yusoff sebelum ini.

Beliau berkata, tindakan itu akan diambil selepas pihaknya mendapat penjelasan lanjut daripada pihak Jabatan Peguam Negara mengenai dua perkara mengelirukan dalam kenyataan media yang dikeluarkan jabatan berkenaan pada 14 Januari lalu.

“Semalam, kita sudah hantar surat kepada Jabatan Peguam Negara untuk mereka tetapkan tarikh pertemuan dengan Peguam Cara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan.

“Kita berikan tempoh tujuh hari untuk mereka beri tarikh pertemuan berkenaan. Penjelasan Engku Nor Faizah penting untuk Muhammed Yusoff membuat keputusan mengenai langkah seterusnya,” katanya.

Menerusi kenyataan media pada 14 Januari lalu, Engku Nor Faizah dilaporkan berkata, pihaknya mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan yang ada dalam kertas siasatan.

Pihaknya bersetuju dengan saranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kes itu ditutup dan penyiasatan boleh dibuka semula sekiranya terdapat keterangan baru.

Mengulas lanjut, Haniff berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan sivil selepas pihaknya mendapat maklumat lanjut berkenaan tindakan sivil Anwar terhadap Muhammed Yusoff yang dikatakan akan diteruskan walaupun Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa beliau.

Namun katanya, sehingga kini Muhammed Yusoff dan beliau belum menerima sebarang surat tindakan saman daripada peguam mewakili Anwar.

Pada 7 Disember lalu, Muhammed Yusoff membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berhubung akuan bersumpahnya mendakwa diperlakukan secara tidak senonoh oleh Anwar.

Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dan turut membuat laporan polis.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 7:11pm
d