mutakhir

Cabut lari tinggalkan 165kg ketum

Oleh Siti Rohana Idris

BATALION Ke-2 Rejimen Sempadan merampas 165 kilogram (kg) daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran, pagi hari ini.

Rampasan itu dibuat tentera markas 8 Briged pasukan itu ketika melakukan rondaan di sempadan Kelantan-Thailand.

Menerusi kenyataan media, jurucakap Batalion Ke-2 Rejimen Sempadan berkata, sepasukan anggota ternampak tiga lelaki memunggah sesuatu ke dalam bot di tebing Sungai Golok, kira-kira 7 pagi hari ini.

“Menyedari kehadiran pasukan keselamatan, kesemua suspek bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai dan meninggalkan 11 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun ketum di tebing sungai.

“Semua daun ketum yang dianggarkan bernilai RM15,675 itu dibawa ke Balai Polis Nibong di Tanah Merah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, ia rampasan kedua tahun ini selepas rampasan pertama pada 8 Januari lalu membabitkan 60kg ketum dengan nilai anggaran RM5,700.

“Kami percaya penyeludup sentiasa menunggu masa yang sesuai untuk melakukan kegiatan itu.

“Bagaimanapun, kami sentiasa melaksanakan kawalan dan rondaan di sempadan tanpa mengira waktu, ia akan dipertingkatkan bagi memastikan tahap keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 8:32pm
d