mutakhir

Naikkan lagi elaun guru KAFA [METROTV]

Oleh Siti Azila Alias

KERAJAAN akan berusaha menaikkan lagi elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang kini berjumlah RM1,000, tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, ia sebagai penghargaan kepada mereka dalam meningkatkan lagi kualiti pengajaran.

Selain itu, katanya kenaikan elaun itu juga dapat dijadikan motivasi supaya mereka tidak berasa dipinggirkan.

“Baru-baru ini elaun mereka (guru KAFA) baru naik RM100, menjadikan jumlah yang diterima RM1,000.

“Bagaimanapun, ia tidak akan habis di sini saja, kita akan minta (dinaikkan) lagi pada belanjawan 2021 nanti supaya guru KAFA ada kualiti dan rasa tidak terpinggir dari sudut elaun,” katanya kepada media selepas melancarkan Rancangan Pengajaran Harian dalam talian (e-RPH) dan KAFA Pendidikan Khas Zon Utara di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Nibong Tebal, hari ini.

Kerajaan dalam Belanjawan 2020 sebelum ini mengumumkan kenaikan elaun guru KAFA sebanyak RM100 sebulan kepada 33,200 guru KAFA membabitkan peruntukan tambahan RM46 juta.

Selain kenaikan elaun, Mujahid berkata, pihaknya juga dalam perbincangan untuk melihat semula pemberian elaun kepada guru KAFA yang cuti bersalin.

Ketika ini, guru KAFA yang cuti bersalin tidak menerima sebarang elaun.

“Ini (elaun ketika cuti bersalin) termasuk dalam perbincangan tetapi, kita cuba buat setakat termampu,” katanya.

Sementara itu, Mujahid berkata, e-RPH adalah inovasi yang dibangunkan KAFA Pulau Pinang dalam memudahkan guru KAFA merangka pengajaran harian secara dalam talian, tanpa perlu menulis di dalam buku lagi.

“Saya amat berbangga dan syabas diucapkan kepada KAFA Pulau Pinang dan berharap ia dapat dijadikan contoh kepada KAFA lain dalam membantu guru KAFA merangka pengajaran harian mereka dengan lebih mudah,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 8:37pm
d