mutakhir

Kecewa tidak dapat masuk Idlib [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

HAMPA. Hanya itu mampu diungkapkan apabila usaha sukarelawan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) untuk menyerahkan bantuan di khemah pelarian dibina di kawasan Idlib dekat Bulbul, Syria, tidak kesampaian.

Ini kerana kawasan itu masih berada dalam zon merah dan atas faktor keselamatan, penulis bersama sukarelawan tidak dibenarkan ke daerah bergolak itu.

Bagaimanapun sebidang tanah disewa Muslim Care selama dua tahun di Idlib itu sudah siap dan kami sepatutnya ke kawasan itu untuk melihat sendiri dan menyerahkan bantuan.

Malah, tidak lama kemudian dikejutkan berita kawasan Idlib sekali lagi dibom yang turut mengorbankan kanak-kanak.

Penulis yang menyaksikan sendiri video dikirim rakan Muslim Care berada di Idlib hanya mampu menahan air mata daripada menitis.

Terkedu lidah apabila melihat tubuh seorang kanak-kanak yang berada di bawah timbunan batu bata sudah tidak bernyawa.

Namun mungkin ada hikmah apabila sukarelawan tidak dibenarkan ke lokasi itu, sebaliknya dibawa ke Bulbul untuk melihat rumah dan sekolah runtuh akibat dibom.

Perjalanan sejauh 400 kilometer dari Reyhanli, Turki ke Bulbul melalui jalan kampung yang berliku dan turut mendaki bukit untuk sampai ke daerah itu.

Sebaik tiba, penulis terkejut melihat sebuah kawasan dipenuhi batu bata yang hancur sebelum dimaklumkan itulah tapak yang dahulunya sebuah sekolah.

Sekolah itu dibom dua tahun lalu menyebabkan pelajarnya hilang tempat belajar dan kini dalam usaha untuk dibina semula, namun kekangan kewangan menyebabkan usaha itu masih belum dapat direalisasikan.

Disiarkan pada: January 18, 2020 @ 1:34pm
d