mutakhir

KKM 'restock' vaksin influenza

Oleh Suzalina Halid

HAMPIR 200,000 bekalan vaksin influenza akan dibawa masuk pembekal secara berperingkat ke Malaysia dalam tempoh dua bulan bermula bulan ini dengan 16,800 daripadanya tiba hari ini bagi memenuhi permintaan awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, 15,000 vaksin lagi dijangka tiba pada Isnin, 67,000 pada 27 Januari manakala baki 100,000 akan dibawa dalam tempoh selewat-lewatnya tiga minggu ini.

“Secara keseluruhan, ia menjadikan hampir 100,000 bekalan vaksin akan tiba pada Januari. Selebihnya dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.

“Walaupun kita mengharapkan (wabak) ini bersifat bermusim tetapi kita harus mengambil segala tindakan dalam mendapatkan vaksin ini.

“Kita akan pantau perkara ini dalam dua hingga tiga minggu akan datang. Saya mengharapkan (keadaan) sedikit reda dan kita akan menangani perkara ini dengan lebih dekat lagi, ” katanya selepas merasmikan Karnival Kesihatan 2020 dianjurkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Petaling Jaya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataannya memaklumkan bekalan tambahan vaksin influenza sebanyak 99,470 dos akan dibawa masuk bulan ini bagi memenuhi peningkatan permintaan yang mendadak sejak akhir tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya menggesa semua pengamal perubatan swasta di negara ini tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga vaksin influenza itu sesuka hati yang kebiasaannya dicaj antara RM50 hingga RM100.

Katanya, KKM tidak boleh mengawal harga vaksin berkenaan namun pihaknya mengharapkan kerjasama daripada pengamal perubatan swasta supaya bertanggungjawab dalam menghadapi situasi berkenaan.

“Dalam hal harga ini, saya yakin atas tanggungjawab itu, mereka tahu di mana nak meletakkan harga berkenaan. Saya yakin mereka tidak akan mengambil keuntungan tetapi mahukan mereka lebih bertanggungjawab.

“Ini kerana kalau diperhatikan permintaan sudah naik enam kali ganda dan yang mendapatkan rawatan atau imunisasi juga berkali ganda. Saya yakin persatuan seperti MMA dan PERDIM (Persatuan Doktor Islam Malaysia) akan turut memantau perkara ini, sekali gus memberi yang terbaik buat rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai peningkatan kes influenza yang kebanyakannya membabitkan pelajar khususnya di Selangor, Dzulkefly berkata, KKM melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) akan terus memantau dan mengemas kini perkembangan kes dari semasa ke semasa.

“Adalah sangat penting bagi setiap laporan kes diberikan kepada CPRC dan kita mengharapkan juga adanya kerjasama daripada pihak swasta, ” katanya.

Semalam, kes mangsa dijangkiti wabak Influenza A meningkat kepada 717 pelajar berbanding 387 orang sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, pihaknya sudah mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau keadaan di semua pintu masuk negara dalam menghadapi kemungkinan penularan coronavirus.

Disiarkan pada: January 18, 2020 @ 1:38pm
d