mutakhir

Kaji e-Tunai Rakyat masuk BSH [METROTV]

Oleh Siti Azila Alias

KERAJAAN sedia mengkaji untuk memasukkan wang tuntutan program e-Tunai Rakyat ke akaun penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang tidak mempunyai kemudahan telefon pintar.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang rungutan berhubung perkara itu, namun akan mempertimbangkannya sekiranya ada.

Katanya, buat masa ini kerajaan akan meneruskan pembayaran BSH yang akan dimasukkan ke akaun penerima pada 20 Januari ini.

“Biar kita jalankan dulu program ini (e-Tunai Rakyat) dan lihat perkembangannya.

“Kalau ada banyak rungutan tentang perkara ini (permintaan memasukkan RM30 ke dalam akaun), kita akan pertimbangkan.

“Kita boleh kaji pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas melawat pasar raya besar Tesco Bagan Ajam sempena pelancaran inisiatif e-Tunai Rakyat di Butterworth, hari ini.

Beliau sebelum itu ditanya sama ada kerajaan sedia mengkaji untuk memasukkan wang tuntutan program e-Tunai Rakyat ke dalam akaun penerima BSH.

Ia berikutan rungutan masyarakat luar bandar terutama golongan tua, yang tidak mempunyai kemudahan telefon pintar.

Sementara itu, Guan Eng berkata, 1.7 juta permohonan diterima bagi menuntut RM30 daripada program terbabit, sejak ia dilancarkan Selasa lalu hingga jam 12 tengah hari tadi menerusi tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Katanya, daripada jumlah itu, 1.32 juta diluluskan dengan jumlah yang dibelanjakan hampir RM40 juta.

“Tujuan kerajaan memperkenalkan program ini adalah untuk menggalakkan sistem pembayaran digital sebagai langkah penting ke arah menuju masyarakat tanpa tunai.

“Tambahan, sistem ini lebih baik, efisien dan telus kerana dapat memastikan pembayaran yang dibuat itu sahih, teratur tanpa ada unsur penyelewengan, penyalahgunaan dan rasuah,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2020 @ 4:00pm
d