mutakhir

Eddin Syazlee pertimbang bertanding Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU

Oleh Amran Yahya

AHLI Parlimen Kuala Pilah Datuk Eddin Syazlee Shith pertimbang untuk menawarkan diri bagi bertanding pada pemilihan parti sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Eddin yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan BERSATU Negeri Sembilan itu berkata, mesyuarat agung BERSATU pada Jun ini merupakan bukti kepada amalan demokrasi.

"Saya akan pertimbang (bertanding) bagi jawatan yang akan dipertandingkan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.

"Lagipun tiada sekatan bagi yang berminat untuk bertanding dengan beberapa syarat yang dikenakan dilihat sebagai menjaga hubungan dalam kalangan ahli," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Sumbangan Sempena Tahun Baharu Cina 2020 anjuran Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia) di Kuala Pilah, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 50 warga emas dari sekitar kawasan parlimen Kuala Pilah menerima sumbangan sejumlah wang tunai, beras dan limau mandarin.

Terdahulu, Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Yayasan al-Bukhary di Kuala Lumpur malam kelmarin mengumumkan parti itu akan mengadakan Perhimpunan Agung pada 25 hingga 28 Jun ini.

Katanya, di peringkat cawangan, persidangan dan pemilihan akan diadakan bermula 15 Februari dan akan berakhir pada 29 Mac manakala, di peringkat bahagian pula pada 18 April.

Disiarkan pada: January 18, 2020 @ 4:48pm
d