mutakhir

24 PATI gagal keluar

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SERAMAI 24 pendatang tanpa izin (PATI) gagal menyusup keluar dari negara ini selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Ops Pluto Timur, di kawasan perairan Sungai Membalua, Tawau, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, semua PATI berusia antara dua hingga 57 tahun itu ditahan ketika cuba pulang ke Filipina menggunakan laluan yang tidak diwartakan.

Katanya, mereka terdiri daripada 11 lelaki dewasa, tiga wanita dan masing-masing enam kanak-kanak lelaki serta empat kanak-kanak perempuan itu menaiki sebuah pam bot dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan kira-kira 2.30 pagi.

“Bagaimanapun, sebaik anggota bot ronda APMM cuba menghampiri pam bot terbabit untuk pemeriksaan, kelihatan seorang lelaki disyaki tekong bot bertindak terjun ke dalam laut dan gagal dikesan.

“Pemeriksaan awal mendapati kesemua penumpang bot terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut yang dijalankan mendapati kesemua PATI itu mengaku membayar sejumlah wang RM350 setiap seorang kepada tekong terbabit sebagai bayaran atau upah untuk membawa mereka menyusup keluar secara haram.

“Hasil soal siasat juga mendapati ada di antara PATI terbabit sudah menetap di daerah sekitar negeri ini antara 13 hingga 20 tahun.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan kegiatan ini didalangi sindiket atau kumpulan tertentu dan siasatan lanjut serta usaha untuk mengesan dalang utama atau mereka yang terbabit sedang giat dijalankan,” katanya.

Siva Kumar berkata, selain pam bot dan enjin sangkut, pihaknya turut merampas 35 tong minyak petrol berisi 875 liter dan empat unit tong gas petroleum cecair (LPG) dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16,000.

Kes masing-masing disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Disiarkan pada: January 18, 2020 @ 7:41pm
d