mutakhir

'Maaf kami bimbang anda diculik' [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

“ANDA berwajah orang Asia dan maafkan kami tidak dapat membawa anak masuk ke dalam Idlib kerana bimbang ditahan dan diculik,” kata Pengarah Pendidikan Afrin, Jaafar Taayar.

Afrin menjadi wilayah di bawah tentera Turki antara yang dilawati sukarelawan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) sepanjang dibenarkan masuk ke negara bergolak itu hasil bantuan Jaafar.

Jaafar berkata, Idlib bukan di bawah kawalan tentera Turki dan agak berbahaya ke sana dalam situasi sekarang yang masih berperang.

Menurutnya, setakat ini seramai 300,000 pelarian Syria sudah datang ke Afrin untuk mendapat perlindungan selepas penempatan mereka di Idlib musnah.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat membawa anda masuk ke sana atas faktor keselamatan,” katanya ketika ditemui sukarelawan di pejabatnya, hari ini.

Sekurang-kurangnya tujuh wilayah termasuk Afrin di bawah penguasaan tentera Turki yang turut membantu rakyat Syria dengan membina kem pelarian buat mereka.

Selain Idlib, serangan kini turut berlaku di kawasan Ghutoh pinggir Damsyik menyebabkan ramai yang terkorban.

Muslim Care turut menyampaikan bantuan menyediakan 400,000 helai kertas untuk peperiksaan pelajar di seluruh wilayah Afrin.

Disiarkan pada: January 18, 2020 @ 10:09pm
d