mutakhir

56 individu ditahan, syabu RM16,431 dirampas

Oleh Juwan Riduan

LIMA puluh enam individu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu dalam Op Ice Breaker bagi tempoh seminggu.

Menerusi operasi sejak 11 Januari hingga Jumaat lalu, 50 orang yang ditahan adalah warga tempatan manakala enam lagi warga asing berusia antara 13 hingga 46 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, 36 orang daripada yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala 18 individu lagi disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952.

“Selain itu, masing-masing seorang disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952.

“Semua tangkapan itu dibuat dalam serbuan di tiga lokasi berbeza iaitu Kampung Cenderamata, Labou dan Sembulan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Habibi berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 109.54 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM16, 431 dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sentiasa perhebat usaha membanteras pengedaran serta penagihan dadah sekitar bandar raya itu dan kawasan berhampiran demi kesejahteraan awam.

Bagaimanapun, Habibi menggesa orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah supaya masalah terbabit dapat dibanteras secara bersama.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 10:38am
d