mutakhir

Kewangan PLUS tidak terjejas - PM

Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan Hamzah Osman

KEDUDUKAN kewangan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dijangka tidak akan terjejas susulan penurunan kadar tol lebuh raya miliknya mulai 1 Februari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, PLUS sudah membuat pengakuan kepada kerajaan akan mengurangkan tol lebuh raya dan kadarnya tidak akan dinaikkan selama 38 tahun.

Katanya, syarikat itu juga mempunyai perolehan mencukupi dari hasil kutipan tol untuk membiayai segala kerja pemulihan dan penyelenggaraan lebuh raya pada masa hadapan.

“Kita percaya penggunaan lebuh raya akan terus meningkat dan ia akan tambah pendapatan Khazanah Nasional.

“Selain itu, PLUS juga mempunyai pendapatan tambahan lain selain tol melalui iklan dan kemudahan lain miliknya di lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah di Langkawi, hari ini.

Khamis lalu, Dr Mahathir mengumumkan kadar tol Lebuhraya PLUS akan diturunkan 18 peratus tahun ini dan kadar itu kekal sehingga tamat tempoh konsesi lanjutan pada 2058.

Beliau dipetik berkata, penurunan itu membabitkan semua lebuh raya kendalian PLUS dengan hasrat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia dijangka beralih kepada sistem pembentungan dan rawatan kumbahan teknologi baharu yang lebih cekap, murah dan bersih pada masa hadapan.

Katanya, projek rintis 'Advanced Moving Bed Bio-Reactor' (AMBBR) kini sedang diuji selama dua tahun di Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah di sini, sebelum diperkenal ke seluruh negara.

Katanya, sekiranya sistem berkenaan didapati sesuai digunakan, kaedah pengurusan air kumbahan di setiap loji dapat dibuat secara lebih berkesan dan menyelesaikan banyak masalah berkaitannya.

“Kita selalu menghadapi masalah air kotor dengan loji rawatan kumbahan sedia ada memerlukan kolam besar yang menelan belanja tinggi.

“Ada juga air kotor yang mengalir ke laut dan mendatangkan masalah dari sudut kebersihan pantai serta memberi kesan kepada hidupan marin.

“Teknologi ini mampu membersihkan air kumbahan menjadi jernih dan tiada endapan, malah endapan yang pada asalnya wujud pada air kumbahan, boleh digunakan untuk kegunaan lain,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 3:43pm
d