mutakhir

Roshini korban demi koala

Oleh Rosyahaida Abdullah

“BIARPUN tragedi ini berlaku nun jauh di sana (Australia), tidak bermakna kita di sini (Malaysia) tidak boleh menyumbang sesuatu kerana kebakaran ini turut memberi kesan kepada seluruh dunia,” kata penuntut Universiti Teknologi Malaysia, M Roshini.

Roshini antara penyumbang bagi program adopsi koala di bawah Koala Hospital, Port Macquarie, New South Wales yang memfokuskan pencarian dana untuk merawat koala terjejas akibat kebakaran hutan di negara itu tahun lalu yang mengorbankan kira-kira 500 juta hidupan liar.

Menerusi program itu, Roshini menyumbangkan sejumlah wang bagi kos adopsi sekali gus menjadikan LINR Paul, antara koala yang menjadi mangsa kebakaran terbabit sebagai ‘anak angkatnya’.

Biarpun masih menuntut di institusi pengajian tinggi, pelajar tahun satu program Bioinformatik ini mengeluarkan wang sendiri demi memastikan koala berkenaan dapat terus dirawat pihak hospital.

“Saya memang sudah menyimpan hasrat dan terpanggil untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang dengan menyumbang kepada program adopsi untuk salah seekor koala yang menjadi mangsa tragedi terbabit iaitu LINR Paul.

“LINR Paul adalah koala hidup pertama yang dimasukkan ke Koala Hospital Port Macquarie untuk dirawat di mana keadaannya parah dengan kesan kebakaran pada sebahagian besar badan serta tangan dan kaki.

“Walaupun amaun yang saya sumbangkan mungkin tidak besar, namun saya percaya ia sedikit sebanyak boleh membantu meringankan beban kewangan hospital serta mengurangkan sedikit derita haiwan yang terjejas,” katanya.

Roshini menghulurkan sumbangan itu bersama ibunya, K Shyamilee dan adiknya, M Kishera yang masing-masing sudah pun menerima sijil adopsi dari pihak hospital sebagai tanda penghargaan atas kesudian dan keprihatinan mereka.

Roshini berharap lebih ramai individu akan turut menghulurkan sumbangan supaya pihak hospital mempunyai dana mencukupi untuk terus merawat koala yang terjejas akibat insiden berkenaan.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 4:02pm
d