mutakhir

'Semoga pembenihan awan berjaya'

Oleh Noorazura Abdul Rahman

OPERASI pembenihan awan dilaksanakan di Kawasan Muda, Alor Setar, hari ini.

Ia dijalankan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada 12.30 tengah hari ini.

Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali berkata, operasi dijangka dilaksanakan selama tiga hari sehingga Selasa ini bergantung kepada kesediaan awan dan kelembapan yang sesuai.

“Operasi ini mensasarkan kawasan tadahan empangan serta dataran Kawasan Muda.

“Sekiranya operasi ini berjaya, hujan dijangka dapat meningkatkan paras takungan empangan dan membantu pengairan di kawasan sawah padi.

“Justeru, MADA memohon semua peladang di Kawasan Muda dan rakyat Kedah serta Perlis dapat mendoakan kejayaan operasi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Fouzi berkata, walaupun cuaca mendung di kebanyakan tempat semalam, namun tiada hujan direkodkan di Kawasan Muda.

Katanya, sehingga jam 8 pagi hari ini, kedudukan takungan paras air di tiga empangan utama mencatatkan penurunan.

“Empangan Pedu mencatatkan paras 45.59 peratus, Empangan Muda 14.42 peratus dan Empangan Ahning 61.57 peratus.

“Pelepasan air daripada empangan hari ini adalah sebanyak 127.5 meter padu sesaat untuk tujuan pengairan tanaman padi dan kegunaan domestik,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 4:50pm
d