mutakhir

Kerja kelong tanpa permit

Oleh Adnan Ibrahim

DUA lelaki warga India yang dipercayai bekerja tanpa permit kerja ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Ops Jaksa di sebuah kelong atau sangkar ikan pada kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika di timur laut Tanjung Kupang di Gelang Patah semalam.

Pengarah APMM Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kedua lelaki berkenaan ditahan selepas ditemui ketika sedang bekerja di kelong terbabit pada 10.45 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan anggota bot peronda APMM di kawasan sangkar ikan berkenaan menemui dua lelaki terbabit berusia 22 dan 33 tahun sedang bekerja tetapi mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan pasport.

"Kedua-dua tahanan itu kini direman selama 14 hari bermula hari ini dan disiasat mengikut peraturan 11(7) Akta Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih seribu ringgit atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404, manakala bagi kejadian kecemasan di laut, talian MERS 999.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 4:59pm
d