mutakhir

Perolehan pusat dialisis SKM RM3.09 juta

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) mencatat perolehan sebanyak RM3.09 juta tahun lalu melalui pusat dialisis yang dijalankan koperasi kendaliannya.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Nordin Salleh berkata, perolehan itu adalah daripada 10 pusat dialisis koperasi termasuk dua di Kelantan dan di Johor, Kedah, Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, dan Sarawak.

Katanya, pusat dialisis satu keperluan amat penting kepada pesakit buah pinggang yang terpaksa menjalani rawatan dialisis sepanjang hayat.

“Kebanyakan masyarakat hari ini dibelenggu masalah kos sara hidup yang meningkat terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

“Bagi pesakit dialisis mereka memerlukan kos yang tinggi setiap kali menjalani rawatan, jadi dengan bantuan diberikan SKM kepada koperasi yang menjalankan aktiviti dialisis ia boleh membantu mengembangkan khidmat ini kepada golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Kerja SKM ke Koperasi Amal Medik Malaysia Berhad, Beris Kubur Besar, di Bachok, hari ini.

Nordin berkata, tahun lalu, Koperasi Amal Medik Malaysia Bhd, menerima geran bantuan berjumlah RM150,000 daripada SKM bagi membiayai pembelian dua mesin dialisis.

Selain itu, ia turut digunakan untuk selain ubahsuai bangunan bagi keselesaan serta menampung jumlah pesakit dialisis yang datang mendapatkan rawatan.

“Khidmat dialisis amat diperlukan di seluruh negara dan ia agak terhad bagi masyarakat yang berada di luar bandar.

“Kami di SKM akan memberi sokongan sewajarnya terhadap usaha ini dan berharap dengan bantuan yang diberikan dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 5:17pm
d