mutakhir

125 kes pelajar dijangkiti influenza

Oleh Azzman Abdul Jamal

SEBANYAK 125 kes influenza membabitkan pelajar pra sekolah hingga pelajar sekolah menengah direkodkan di Negeri Sembilan sehingga 17 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek, berkata kes membabitkan 66 murid sekolah menengah, murid sekolah rendah (50) dan masing-masing tiga murid pra sekolah, pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan guru.

Katanya, kes paling ramai direkodkan di Kuala Pilah merangkumi seramai 61 orang diikuti Seremban (38), Port Dickson (22), Tampin (tiga) dan seorang di kawasan Jempol dan Jelebu.

"Sekolah paling ramai terbabit dengan kes influenza adalah Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar iaitu seramai 58 orang.

"Seramai 57 pelajar yang terbabit pulang ke rumah masing-masing manakala seorang pelajar menerima rawatan di Hospital Pakar KPJ di Batu Pahat, Johor," katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.

Selain Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar katanya, keadaan kes secara umumnya tidak membabitkan ramai pelajar merangkumi satu hingga lima pelajar bagi setiap sekolah.

"Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan sudah diarahkan untuk meminta setiap pengurusan sekolah supaya sentiasa memantau keadaan bagi memastikan pelajar, guru dan pekerja di sekolah berada dalam keadaan sihat serta segera mengambil langkah sewajarnya jika ada individu yang disyaki menghidap influenza.

"Ibu bapa juga dinasihatkan untuk menghantar anak-anak mendapatkan rawatan segera jika terdapat tanda-tanda menghidap influenza," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini tiada sekolah di Negeri Sembilan yang ditutup atas masalah Influenza.

"Namun begitu, Jabatan Pendidikan boleh berbuat demikian sekiranya masalah ini semakin ketara dan mendapat kebenaran dari Jabatan Kesihatan negeri," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 6:54pm
d