mutakhir

Tak cadang lanjut permohonan e-Tunai Rakyat

Oleh BERNAMA

KERAJAAN tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh permohonan program e-Tunai Rakyat yang akan berakhir pada 9 Mac depan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, sebanyak 2.6 juta permohonan bagi menuntut wang percuma RM30 menerusi e-Tunai Rakyat sudah diterima sejak program itu diumumkan Selasa lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, dua juta permohonan sudah menerima pembayaran insentif berkenaan.

“Sebanyak RM59 juta sudah dibelanjakan menjadikan lebih 10 peratus daripada RM450 juta yang diperuntukkan untuk program berkenaan sudah dibelanjakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, program ini adalah usaha untuk menggalakkan pembayaran digital dalam kalangan rakyat.

Pada masa sama katanya, menggalakkan peniaga dan pedagang untuk berdaftar dan menjual secara dalam talian.

“Usaha ini juga untuk menuju masyarakat tanpa tunai. Sambutan yang diterima daripada rakyat di luar jangkaan,” katanya.

Guan Eng berkata, rakyat yang sudah menuntut RM30 daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost, dan Touch ‘n Go perlu menggunakannya sehingga 14 Mac depan.

“Jadi semua termasuk peniaga diminta mendaftarkan diri sekali gus merebut peluang ini sama ada untuk menjual atau membeli secara digital atau dalam talian,” katanya.

Program e-Tunai Rakyat membabitkan peruntukan RM450 juta diumumkan pada Selasa lalu kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menuntut wang percuma RM30 menerusi tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 7:04pm
d