mutakhir

Sarapan percuma murid bermula hari ini

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

LEBIH 4,000 murid di 100 sekolah terpilih di seluruh negara menikmati sajian sarapan pagi percuma menerusi Program Penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan fasa pertama yang bermula hari ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim berkata, program itu ditambah baik daripada Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang diperkenal Kementerian Pelajaran sejak 1979.

Menurutnya, antara penambahbaikan dilaksana termasuk pemilihan kriteria murid daripada golongan miskin berbanding hanya miskin tegar sebelum ini.

"Dulu fokusnya adalah golongan miskin tegar atau murid dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) atau murid di sekolah Orang Asli.

"Bezanya kali ini, berdasarkan paras kemiskinan nasional, kita perluaskan kepada murid miskin.

“Jadi, lebih ramai murid dapat manfaat RMT," katanya ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Suria di Puchong pagi hari ini.

Beliau berkata, makanan disediakan berdasarkan cadangan Kementerian Kesihatan dengan setiap sajian mengandungi nutrisi dan kalori sesuai kepada murid.

"Ada lebih 20 menu disediakan dan pihak sekolah melalui kantin boleh bergilir untuk menyediakan menu berkenaan.

"Bagi sekolah kecil, kita cadangkan disediakan oleh PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), guru atau ibu bapa. Jika tidak ada kita bagi kepada pihak luar untuk sediakan," katanya.

Habibah berkata, kebanyakan sekolah terpilih terletak berhampiran dengan kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan 90 peratus murid menghuni di kawasan itu.

"Kita juga bekalkan borang kepada murid (untuk diisi penjaga). Kita tidak boleh beri makanan sembarangan kepada murid. Jadi murid yang dapat, sudah ada persetujuan ibu bapa.

"Dalam borang juga, kita minta supaya murid membuat permintaan jika ada sebarang alahan dan makanan yang boleh atau tidak boleh diambil," katanya.

Ditanya sama ada jumlah 100 sekolah akan diperluas selepas ini, Habibah berkata, ia bergantung kepada peruntukan diberi kerajaan dan kementeriannya tiada halangan untuk memperluas ke sekolah lain.

Menyentuh agihan makanan itu, beliau berkata, buat masa ini ia hanya berlangsung pada waktu pagi iaitu bermula daripada 7 hingga 7.30 pagi.

"Ada juga murid yang tidak sempat (ambil sebelah pagi) dibenarkan untuk makan pada waktu rehat.

"Ada juga sekolah dua sesi. Bagi sesi petang, ia bermula 12.30 tengah hari hingga 2 petang," katanya sambil memaklumkan setiap bekas makanan akan tertera nama setiap murid yang menerima.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 10:52am
d