mutakhir

20 menu bantu murid makan seimbang

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

SERAMAI 906 murid di enam sekolah di Selangor menikmati sajian sarapan pagi percuma menerusi Program Sarapan Pagi (PSP) fasa pertama, bermula hari ini.

Timbalan Pengarah Pengurusan Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor Azmi Misrun berkata, enam sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Batu 20, Kuala Selangor, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Kuan, Sabak Bernam dan SJKC Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Tambahnya, tiga lagi sekolah iaitu SK Bukit Lanjan, Petaling Utama, SK Tun Abd Razak, Hulu Selangor dan SK Bandar Rinching, Sepang.

"Pelaksanaan PSP pada fasa pertama ini menggunakan 20 menu makanan berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang.

"Kami ingin pastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, menjalani gaya hidup sihat, lebih bertenaga semasa sesi pembelajaran selain merangsang proses tumbesaran seimbang," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Azmi ditemui pada sidang media selepas program PSP 2020 SK Jeram Batu 20, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, waktu pelaksanaan PSP bagi sesi pagi bermula jam tujuh pagi sehingga jam 7.30 pagi.

"Siapa datang awal ke sekolah, mereka boleh bersarapan dahulu dan selepas itu, boleh terus masuk ke kelas," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor, Mohd Azuan Mohd Nawawi berkata, pemilihan SK Jeram Batu 20 berdasarkan kriteria ibu bapa dalam kalangan kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40).

"Pelaksanaan PSP di sekolah ini (SK Jeram Batu 20) adalah projek perintis pertama) di PPD Kuala Selangor.

"PSP bukan sahaja memberi manfaat kepada murid sekolah, tetapi membantu ibu bapa mengurangkan perbelanjaan sekolah anak-anak," katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 1:33pm
d