mutakhir

Rampas tembakau awet RM100,000 [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

PIHAK berkuasa berjaya merampas 3,594 kilogram tembakau diawet bernilai RM100,000 yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Kelantan Samsudin Noor berkata, semua tembakau itu diisi dalam 179 plastik dirampas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan di Kampung Pangkal Jenereh, Machang, pada 12 Januari lalu.

Serbuan hasil risikan seminggu oleh LKTN dan AKSEM.

Katanya, modus operandi (MO) penyeludup adalah dengan membawa masuk tembakau menggunakan kenderaan lebih kecil berbanding, lori sebelum ini.

“Tembakau dipercayai dari negara jiran dan dibawa masuk menerusi laluan darat, sebelum disimpan serta dikumpulkan sedikit demi sedikit di bangsal kecil dekat kawasan semak.

“Ia untuk pasaran tempatan di Kelantan dan Pantai Barat. Saya percaya MO diguna pakai ini adalah untuk mengaburi mata penguat kuasa dan mengambil kesempatan kesibukan mereka menangani kegiatan penyeludupan mercun sempena Tahun Baru Cina,” katanya ditemui di pejabat LKTN, Kubang Kerian, Kota Bharu hari ini.

Samsudin berkata, tiada mana-mana individu ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 51(1) Akta LKTN 2009 (Akta 692) yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurutnya, tahun ini pihaknya akan mempergiatkan lagi penguatkuasaan bagi mengekang tembakau yang dibawa masuk secara haram.

“Untuk itu kita memperkasakan lagi kerjasama dengan pihak AKSEM dan agensi penguatkuasaan berkaitan dalam operasi, risikan, serta rondaan dan pemeriksaan secara berkala,” katanya yang yakin cara itu akan menjadi amaran kepada penyeludup.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 2:22pm
d