mutakhir

"Tunggu surat daripada peguam saya" [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

AHLI Parlimen Wangsa Maju Datin Dr Tan Yee Kew tetap dengan pendiriannya untuk mengheret Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah ke mahkamah atas dakwaan memfitnahnya menyalahguna kuasa dan terbabit dalam pemilihan peniaga di tapak baru Bazar Larut Malam (Uptown) Danau Kota, di sini.

Yee Kew berkata, urusan berkaitan tuntutan saman diserahkan kepada peguammya yang sedang melengkapkan dokumentasi dan bukti bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil terhadap Mohd Ridzuan.

“Sudah saman , tunggu surat daripada peguam saya. Tuntutan itu dibuat kerana fitnah beliau (Mohd Ridzuan) terhadap saya.

“Saya sudah serahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut namun tuntutan dibuat kepada Presiden IKHLAS (Mohd Ridzuan) saja, bukannya 157 peniaga yang membuat laporan polis.

“Bagaimanapun, DBKL sudah menjalankan siasatan (membabitkan 157 peniaga) dan sebahagiannya sudah ditawarkan tapak jadi satu kesalahan jika mereka membuat laporan palsu ,” katanya kepada pemberita pada sidang media berkaitan kes samun bersenjata di Pusat Khidmat Rakyat Wangsa Maju di Platinum Walk, Setapak, di sini.

Sidang media itu diadakan untuk berkongsi perkembangan kes samun bersenjata membabitkan mangsa terdiri daripada dua penuntut Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan Mohd Hazazi Othman.

Dalam pada itu, Yee Kew menafikan dakwaan dirinya enggan bertemu dengan peniaga Uptown Danau Kota bagi menyelesaikan isu berhubung perpindahan.

“Tak benar (dakwaan) sebaliknya saya selalu bertemu peniaga yang betul-betul peniaga.

“Saya juga bantu tubuhkan persatuan untuk mewakili mereka.

“Tiada masalah cuma buat masa ini, masih ada 60 tapak kosong di lokasi baru bazaria dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah meminta mereka hadir untuk mengundi tapak sebelum membuka kepada permohonan baru memandangkan ada (peniaga) yang membuat rayuan.

“Apa pun, DBKL akan beri pertimbangan dan tunggu pihak mereka tentukan,” katanya,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 4:05pm
d