mutakhir

Lebih 800 pelajar Selangor 'bercuti' sakit

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

JUMLAH pelajar yang dijangkiti virus Influenza A dan H1N1 di Selangor kini mencecah 863 orang berbanding 717 pelajar yang dilaporkan pada Jumaat lalu.

Pengarah Pendidikan Selangor, Dr Mahanom Mat Sam berkata, setakat 9 pagi tadi, Petaling Perdana kekal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu membabitkan 231 pelajar dari 71 sekolah, manakala Klang membabitkan 154 kes dari 55 sekolah.

“Ia kemudian diikuti Petaling Utama dengan 113 kes dari 34 sekolah; Sepang dengan 102 kes dari 21 sekolah; Gombak dengan 88 kes dari 33 sekolah dan Hulu Langat pula merekodkan 85 kes dari 36 sekolah.

“Daerah Kuala Langat pula kekal dengan 27 kes dari 11 sekolah; Hulu Selangor (20 kes dari tujuh sekolah), Sabak Bernam (sembilan kes dari empat sekolah) dan Kuala Selangor (lapan kes dari enam sekolah),” katanya.

Beliau berkata, semua pelajar berkenaan sudah menerima rawatan di klinik dan hospital serta dilaporkan stabil.

Jelasnya, pelajar juga diberi cuti rehat dan dinasihatkan untuk dikuarantin di rumah untuk tempoh tiga hingga tujuh hari.

Dalam pada itu, Mahanom berkata, tiada sekolah atau kelas di negeri ini ditutup susulan wabak itu.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sudah menjalankan langkah pencegahan dan mitigasi di semua sekolah yang dikategorikan Influenza Like Illness (ILI).

“Sehingga kini, 15 sekolah sudah menjalani mitigasi dan penyahkuman secara menyeluruh. Proses ini akan diteruskan kepada 10 lagi sekolah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mewujudkan ‘Taskforce’ penyakit berjangkit yang terdiri dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 4:09pm
d