mutakhir

Pakai penutup mulut, hidung

Oleh Hassan Omar

SENTIASA pakai penutup mulut dan hidung serta segera dapatkan rawatan jika mengalami demam kerana dikhuatiri ia mempunyai kaitan dengan influenza.

Itulah aspek ditekankan Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Lubok Cina, Alor Gajah, Dr Nordiana Abdul Latif kepada 15 murid tahun satu hingga enam dan sembilan murid pra sekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Jerneh (SKSJ), Lubok Cina ketika menyampaikan ceramah mengenai penyakit berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, pemakaian alat berkenaan penting bagi mengelak mereka dijangkiti penyakit itu yang merebak melalui udara dan sentuhan.

Katanya, jika mempunyai tanda influenza seperti demam panas, tekak sakit dan seumpamanya, mereka harus segera mendapatkan rawatan.

“Kawasan paling efektif untuk virus influenza aktif ialah sekitar satu meter dari orang positif influenza dan sekiranya dia batuk atau bersin, kita mudah dijangkiti jika tidak memakai penutup mulut dan hidung.

“Ada beberapa jenis influenza dan yang paling berat ialah influenza A dan sesiapa yang dijangkiti virus itu lazimnya akan muntah dan cirit birit, selain demam panas dengan suhu badan mencecah 40 Selsius,” katanya.

Hadir sama, Guru Besar SKSJ, Mustafa Kamal Mohd Nor; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Jerneh, Zaidil Fitri Sabtu; Pengerusi Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) kampung itu, Salmiah Jantan dan Pengerusi Program Kampung Bebas Asap Rokok (KBAR), Jaafar Atan.

Program itu dianjurkan KOSPEN Kampung Sungai Jerneh dengan kerjasama klinik berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman murid mengenai influenza dan kaedah untuk mengelak daripada dijangkiti.

Selain menyampaikan ceramah, Dr Nordiana, Mustafa Kamal serta Zaidil turut memakaikan penutup mulut dan hidung pada murid, selain mengedarkan 100 alat berkenaan kepada hadirin termasuk ibu bapa.

SKSJ adalah sekolah paling kurang murid di Melaka dengan keseluruhan murid hanya seramai 16 orang, termasuk murid tunggal, masing-masing dalam tahun satu dan tahun lima.

Sekolah itu mengalami penurunan jumlah murid sejak tiga tahun lalu berikutan penghijrahan penduduk dari kampung itu ke pekan Lubok Cina kira-kira lima kilometer dari kampung berkenaan.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 4:34pm
d