mutakhir

Perlu ikut proses kalau nak singkir saya [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

LEMBAGA Disiplin PKR perlu melalui beberapa proses sebelum membuat keputusan bagi menyingkirkan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin daripada parti berkenaan.

Zuraida berkata, parti berkenaan berhak berbuat demikian asalkan ia dilakukan mengikut proses yang betul serta mengikut keadilan yang sewajarnya.

"Tidak mengapa, apa sahaja mereka mahu lakukan mereka boleh buat mengikut proses yang betul. Jadi 14 hari diberikan (untuk menjawab surat tunjuk sebab), lepas itu mereka perlu mengikut proses yang betul serta mesti lakukan dengan adil," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pelepasan Kenderaan Elektrik untuk Kegunaan Majlis Perbandaran Pengerang di Putrajaya tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya beliau akan berdepan dengan proses penyingkiran dari parti itu selepas menerima surat tunjuk sebab dari Lembaga Disiplin parti berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau sudah menjawab surat tunjuk sebab berkenaan, Zuraida berkata pihaknya diberi tempoh selama 14 hari untuk menjawab surat yang bertarikh 15 Januari lalu.

"Saya dah cakap sebelum ini, saya perlu menjawab surat berkenaan dalam tempoh 14 hari, jadi 14 hari itu, 14 hari la. Nanti saya dah hantar surat berkenaan saya akan maklumkan pada media, InsyaAllah," katanya.

Lembaga Disiplin PKR sebelum ini dilapor memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida dipercayai berkait dengan insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember lalu.

Zuraida dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, antara pemimpin yang dikatakan memboikot hari terakhir kongres namun mengadakan satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Ketika berucap pada majlis makan malam itu dipercayai di Hotel Renaissance, Zuraida menegur kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 4:49pm
d