mutakhir

'Kita akan siasat' - polis

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

POLIS akan mengesan dua pemandu kereta mewah Mercedes Benz berwarna kuning yang didakwa terbabit dalam perlumbaan haram di Jalan Kubang Kerian ke Pasir Hor, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

“Kita akan siasat terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Mengadakan perlumbaan haram di jalan raya adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan didenda minimum RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial, video berdurasi 2.28 saat memaparkan gelagat sekumpulan individu menyekat lalu lintas sebelum dua pemandu kereta Mercedes Benz memulakan perlumbaan.

Kejadian dipercayai berlaku jam 2 pagi.

Difahamkan, seorang daripada pemilik kereta mewah yang menyertai perlumbaan itu dikaitkan dengan ahli perniagaan kosmetik di Kelantan.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 5:40pm
d