mutakhir

Tiga sahabat berdepan tali gantung

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TIGA sekawan ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di Setiawangsa, Kuala Lumpur, 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya menahan Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dalam keadaan mencurigakan untuk pemeriksaan kira-kira jam 5 pagi.

“Pemeriksaan menemui 18 bungkusan plastik disyaki syabu seberat 18.9 kilogram bernilai RM948,000.

“Soal siasat dilakukan membawa kepada penahanan dua lagi suspek masing-masing berusia 20-an termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan di sekitar Cheras dan Wangsa Maju pada hari sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, hari ini.

Rajab berkata, siasatan mendapati dua daripada mereka dipercayai rakan kepada suspek utama yang aktif sejak kira-kira dua bulan lalu.

“Semakan mendapati dua suspek lelaki berkenaan masing-masing mempunyai 10 dan tujuh rekod jenayah.

“Kami percaya dadah itu diseludup masuk dari negara jiran sebelum diedarkan sekitar pusat bandar ini. Siasatan lanjut giat dijalankan dan kami sedang memburu beberapa rakan suspek yang masih bebas,” katanya yang memaklumkan ketiga-tiga suspek positif dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 5:49pm
d