mutakhir

Ramainya bayar saman...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

HAMPIR RM6 juta kutipan bayaran saman diperoleh dalam tempoh dua hari selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan diskaun 50 peratus bagi pembayaran saman secara dalam talian bermula 18 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, ada peningkatan jumlah saman yang dijelaskan orang ramai semalam berbanding hari pertama pelaksanaan inisiatif berkenaan.

“Pada 18 Januari lalu, sebanyak 21,554 saman dijelaskan membabitkan kutipan saman berjumlah RM2.27 juta. Jumlah itu meningkat kepada 24,041 saman dijelaskan dengan kutipan sebanyak RM2.53 juta, semalam.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan saman dijelaskan sebanyak 55,946 saman membabitkan RM5.88 juta kutipan saman sehingga semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Minggu lalu, Azisman mengumumkan PDRM menawarkan diskaun saman 50 peratus untuk pembayaran secara dalam talian melalui MyEg dan Rilex.com bermula 18 hingga Rabu ini.

Beliau memaklumkan inisiatif itu juga bagi membolehkan orang ramai tidak perlu menunggu dan beratur berjam-jam bagi membuat pembayaran saman di balai polis.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 5:50pm
d