mutakhir

AirAsia, AirAsia X dikenakan penalti RM2 juta

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengenakan penalti kewangan terhadap AirAsia Berhad (AirAsia), AirAsia X Berhad (AirAsia X) dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang), subsidiari di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Penalti kewangan yang dikenakan ialah sebanyak RM2 juta masing-masing terhadap AirAsia dan AirAsia X.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, MAVCOM berkata, penalti itu dikenakan kerana kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan masih mengenakan caj bagi kad kredit, kad debit, serta fi pemprosesan perbankan dalam talian, yang berasingan daripada tambang asas yang di mana ia adalah pelanggaran Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dari 10 Ogos hingga 11 September 2019.

“Ini adalah kali kedua AirAsia dan AirAsia X didapati melanggar keperluan MACPC.

“Manakala, MA Sepang dikenakan penalti kewangan sebanyak RM856,875 kerana tidak memenuhi beberapa sasaran bagi elemen kualiti perkhidmatan yang ditetapkan oleh MAVCOM dalam Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang) pada suku kedua tahun 2019.

“AirAsia, AirAsia X dan MA Sepang dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dikenakan terhadap setiap syarikat terbabit pada 16 Januari 2020,” katanya.

AirAsia dan AirAsia X dikenakan penalti untuk ketidakpatuhan kepada Kod Perlindungan Pengguna.

MACPC berkuat kuasa pada 1 Julai 2016 dan seterusnya ditambahbaik dengan pindaan yang dikuatkuasakan pada 1 Jun 2019 untuk memastikan hak pengguna penerbangan dilindungi dengan lebih baik.

Kali pertama Suruhanjaya mengenakan penalti kewangan sebanyak RM200,000 terhadap AirAsia dan AirAsia X adalah pada September 2019, yang mana kedua-dua syarikat penerbangan itu didapati melanggar sub perenggan 3(2) MACPC apabila mereka mengenakan caj bagi kad kredit, kad debit serta fi pemprosesan perbankan dalam talian, yang berasingan daripada tambang asas dari tempoh 1 Jun 2019 hingga 9 Ogos 2019.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 8:31pm
d