mutakhir

Mana mahu lari...

Oleh Nor Farhani Che Ad

BIARPUN pernah diserbu beberapa kali, namun dua pusat hiburan di Sungai Petani dan Kulim didapati masih berdegil apabila menggunakan wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing.

Kegiatan itu dikesan dalam operasi oleh sepasukan 19 pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, semalam.

Pengarah JIM Kedah Zuhair Jamaludin berkata, berikutan itu, seramai 27 wanita warga asing dipercayai GRO ditahan dalam operasi pada 1.35 pagi itu.

Menurutnya, ketika serbuan, ada antara wanita terbabit cuba melarikan diri melalui pintu belakang selain menyorok bawah meja bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, mereka berjaya ditahan hasil kecekapan pegawai penguat kuasa yang membuat kepungan sebelum serbuan dilakukan.

“Mereka yang ditahan terdiri 24 wanita warga Thailand, dua wanita warga Laos dan seorang wanita warga Indonesia berusia 19 hingga 28 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depoh Imigresen Belantik, Sik untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 8:47pm
d