mutakhir

Cadang wujud pusat sehenti pasukan khas pantai

Oleh Baharom Bakar

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu bercadang mewujudkan pusat sehenti menempatkan pasukan khas pantai di tiga pantai dikenal pasti tidak selamat untuk mandi di negeri ini.

Tiga pantai itu adalah Pantai Pandak di Chendering, Kuala Terengganu dan Pantai Teluk Bidara dan Teluk Lipat di Dungun.

Pengarah JBPM negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pasukan khas pantai itu akan membabitkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kami akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan agensi penyelamat bagi tujuan itu.

“Tiga pantai berkenaan akan dijadikan lokasi projek perintis,” katanya.

Mohamad Shoki berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Pemeriksaan Premis Perniagaan Sempena Sambutan Tahun Baru Cina, di Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Shoki berkata, 67 kematian akibat lemas dilaporkan di negeri ini dalam tempoh tiga tahun sejak 2017.

Katanya, sebanyak 22 kes dengan 22 kematian dilaporkan pada 2017, dan 35 mangsa selamat.

“Pada tahun berikutnya, kes kematian akibat lemas meningkat kepada 31, satu cedera dan 40 selamat.

“Bagaimanapun, jumlah kes lemas turun tahun lalu dengan hanya 14 kematian, tujuh cedera dan 17 mangsa selamat,” katanya.

Mohamad Shoki berkata, selain pantai, lokasi dikenal pasti kerap berlaku kejadian lemas, Air Terjun Sekayu dan Belukar Bukit di Hulu Terengganu serta Lata Cangkah dan Lata Payung di Setiu dan Lata Tembakah di Besut.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 8:54pm
d