mutakhir

Ditipu beli kereta klon

Oleh Shahrinnahar Latib

PEMANDU van mengalami kerugian sebanyak RM15,000 kerana ditipu dengan membeli sebuah Mercedes Benz E200 klon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mendakwa dia ditipu dalam urus niaga jualan kereta terbabit dengan seorang lelaki warga Pakistan.

Menurutnya, mangsa yang berusia 51 tahun itu dikatakan berjumpa dengan seorang lelaki berkenaan pada 26 November lalu dengan tawaran harga RM25,000 untuk kenderaan terbabit.

“Selepas mereka berbincang, mangsa meminta untuk mengurangkan harga dan suspek bersetuju untuk menjual kereta berkenaan dengan harga RM23,000.

“Mangsa kemudian membuat bayaran sebanyak RM15,000.00 secara tunai kepada suspek dan lelaki itu menerima kereta berkenaan tanpa menerima salinan geran asal walaupun sudah dimintanya,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan hari ini.

Menurutnya, suspek dikatakan berjanji untuk menguruskan proses tukar nama kereta berkenaan dalam masa seminggu tetapi selepas itu lelaki terbabit memberi pelbagai alasan.

“Mangsa yang berasa curiga kemudian membuat semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan hasil semakan itu mendapati kenderaan berkenaan adalah kereta klon.

“Pada 2 Januari lalu, mangsa juga ditahan oleh polis di Jalan Mahkota dan kereta berkenaan dibawa ke Balai Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berasa tertipu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

“Modus operandi suspek adalah dengan menjual kereta klon dengan harga yang murah. Polis kini sedang mengenal pasti lelaki terbabit.

“Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 12:20pm
d