mutakhir

Puncak Bukit Berekeh masih 'membara'

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

OPERASI memadam kebakaran hutan di puncak Bukit Berekeh di Kampung Baung, Sungai Siput sudah memasuki hari kedua, hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam kenyataannya menjelaskan, kebakaran merebak di kawasan hutan seluas 4.04 hektar berbanding 2.02 hektar seperti yang dilaporkan semalam.

Katanya, operasi memadam kebakaran diperkuatkan dengan kekuatan kepada 30 anggota, termasuk daripada agensi lain membabitkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar, selain bantuan orang awam.

“Kejadian kemungkinan berpunca daripada pembakaran terbuka yang dilakukan pengunjung yang menyertai ekspedisi ke bukit itu.

“Operasi menggunakan teknik pemerap api. Kebakaran ketika ini berjaya dikawal bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Semalam, sebahagian kawasan hutan di puncak bukit berketinggian 454 meter itu dilaporkan terbakar membabitkan keluasan 2.02 hektar.

Panggilan kecemasan diterima 11.36 pagi semalam sebelum 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput diarahkan ke lokasi.

Difahamkan bukit itu yang turut dikenali sebagai Bukit Botak dalam kalangan penduduk tempatan menjadi antara lokasi tumpuan bagi aktiviti pendakian dan rekreasi di Sungai Siput.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 12:57pm
d