mutakhir

'Saya sentiasa tenang'

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

NAIB Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menyifatkan beliau sentiasa dalam keadaan tenang walaupun ketika partinya dilanda masalah pada tahun 2004.

Beliau berkata walau apa pun terjadi beliau tetap setia dengan PKR namun Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang bertindak keluar dari parti terbabit ketika berdepan dengan masalah.

“Dia (Saifuddin) minta saya untuk tenang (ketika menjawab surat tunjuk sebab), pada saya perkara tenang itu tidak ada isu kerana saya sangat tenang apabila parti saya dalam keadaan susah pada tahun 2004.

“Ketika itu saya juga masih dalam parti dan membina parti, tetapi Setiausaha Agung saya lari ketika itu. Jadi dia yang tak tenang, saya tenang.

“Saya juga tidak terlintas dalam fikiran (untuk lompat parti lain), kerana bila kita berada di landasan yang benar tidak jadi masalah di mana pun kita berada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai ada pihak yang cuba melaga-lagakan dirinya dengan pihak lain berhubung isu politik.

Lembaga Disiplin PKR sebelum ini dilapor memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida dipercayai berkait dengan insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember lalu.

Zuraida dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara pemimpin yang dikatakan memboikot hari terakhir kongres namun mengadakan satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Ketika berucap pada majlis makan malam itu dipercayai di Hotel Renaissance, Zuraida menegur kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai adakah pihaknya akan mengambil tindakan kepada individu yang menularkan surat permohonan palsu kononnya beliau ingin menyertai parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Zuraida berkata perkara itu terlalu remeh dan tidak perlu dilayan.

“Ini perkara biasa dan remeh dalam politik, jadi buat apa kita nak ambil tindakan kerana ia hanyalah buang masa. Buat apa nak layan, lebih baik saya buat kerja ini dan fokus untuk membina negara.

“Tak payah buat (laporan polis), polis ada banyak lagi perkara perlu diselesaikan, sebagai pemimpin berjiwa besar perkara ‘kenit’ (kecil) ini biasa la dalam politik. Kita cuma harus tahu bagaimana untuk bertahan kerana kita berada di pihak benar,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Pakatan Harapan (PH) akan menjadi kerajaan sepenggal sekiranya tidak berubah, Zuraida berkata ia adalah satu amaran kepada kepimpinan parti.

“Itu adalah satu amaran diberikan kepada pihak yang masih tidak boleh menyesuaikan diri sebagai kerajaan. Mereka ini seharusnya berhati-hati, sekiranya masih sayang, mereka harus berubah. Kalau mahu teruskan (bergaduh), mana-mana kerajaan yang memerintah pun tidak akan kekal lama,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 1:35pm
d