mutakhir

Permohonan lanjut pengajian ke Timur Tengah mulai hari ini

Oleh BERNAMA

PELAJAR Malaysia yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Timur Tengah iaitu Mesir dan Jordan bagi sesi 2020/2021 perlu membuat permohonan secara atas talian di pautan https://dohe.moe.gov.my/timurtengah.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata permohonan atas talian bagi lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dibuka jam 2 petang pada 21 Januari sehingga jam 11.59 malam, 3 Februari.

Permohonan atas talian bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Diploma Qiraat pula dibuka pada 21 Januari jam 2 petang dan ditutup pada 9 April 11.59 malam.

Selepas keputusan SPM diumumkan, pemohon diminta untuk mengemaskini permohonan secara dalam talian sehingga tarikh tutup permohonan pada 9 April, jam 11.59 malam.

KPM berkata permohonan bagi melanjutkan pengajian ke Timur Tengah bagi bidang Pengajian Islam, Perubatan, Pergigian dan Farmasi hanya diproses oleh KPM sahaja.

“KPM tidak melantik mana-mana ejen bagi menguruskan pelajar ke Timur Tengah. Sebagai makluman, penggunaan ejen bagi menguruskan permohonan dan penempatan ke Timur Tengah adalah atas pilihan dan tanggungjawab pelajar atau ibu bapa sendiri,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi di talian 03-8870 6627 / 6226 sekiranya mempunyai sebarang soalan atau pertanyaan berkaitan.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 1:50pm
d