mutakhir

Pelajar maut, rakan cedera dilanggar lari

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

PERJALANAN dua pelajar menuju ke sekolah berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dilanggar lari sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 11, Jalan Banting - Dengkil, di Kuala Langat, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa, Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13, maut di lokasi kejadian manakala rakannya, Aina Safiyah Saparin, 13, patah tangan kanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati semua mangsa dalam perjalanan dari rumah menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Changgang.

Menurutnya, mangsa memakai pakaian sekolah manakala rakannya memakai pakaian sukan.

“Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa dilapor sedang melintas jalan di kawasan berkenaan untuk ke perhentian bas.

“Ketika melintas, kedua-dua mangsa dilanggar sebuah kereta yang sehingga kini belum dapat dikenalpasti yang kita percayai pemandu kenderaan itu melarikan diri,” katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya patah tangan kanan.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan rakannya dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

Kata Azman, siasatan lanjut dan usaha mengesan saksi bebas masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Lau Ung Hee di talian 019-6699901,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 2:17pm
d