mutakhir

'Saya seorang je...'

Oleh Hassan Omar

MURID tunggal tahun satu di Sekolah Kebangsaan Sungai Jerneh (SKSJ), Lubok Cina, Alor Gajah, Nur Zahirah Aishah Mohd Zuhaili hari ini dilantik sebagai ketua kelas, yang menjadikannya seolah-olah ‘raja tanpa rakyat.’

Berbeza dengan murid lain dilantik menjadi ketua kelas dan mempunyai ‘orang bawahan,’ Nur Zahirah menjadi ketua bagi dirinya sendiri berikutan tiada murid lain di kelas itu.

Bagaimanapun, murid terbabit tidak berasa kekok, apatah lagi kecewa dengan keadaan dilaluinya sejak memulakan sesi persekolahan secara bersendirian tanpa teman di kelas berkenaan pada 2 Januari lalu.

“Sayalah ketua kelas dan sayalah murid biasa, tetapi saya tidak kisah kerana walaupun tidak ada sesiapa pun yang boleh berkawan dalam kelas, saya ada cikgu yang menjadi kawan.

“Saya suka dilantik sebagai ketua kelas dan mungkin saya akan ada kawan baru yang masuk ke dalam kelas ini pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian watikah pengawas sekolah, pengawas pusat sumber dan ketua kelas di sekolah itu, hari ini.

Ia disampaikan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Jerneh, Zaidil Fitri Sabtu. Hadir sama, Guru Besar SKSJ, Mustafa Kamal Mohd Nor.

SKSJ hanya mempunyai 16 murid tahun satu hingga tahun enam, selain sembilan murid prasekolah, sekali gus menjadikannya sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) yang paling rendah jumlah muridnya di negeri ini.

Selain Nur Zahirah, ada seorang lagi murid tunggal dalam tahun lima, tetapi murid terbabit tidak bersendirian di dalam kelas kerana pembelajarannya digabungkan dengan dua murid tahun empat.

Mustafa Kamal, 59, yang bakal bersara Mac depan berkata, tahun lalu ada 28 murid, tetapi tahun ini ia berkurangan kepada 16 kerana ada murid yang berpindah ke sekolah lain, terutama SK Telok Berembang, kira-kira empat kilometer (km) dari SKSJ.

Bagaimanapun, beliau berkata, 10 guru tidak pernah patah semangat untuk membimbing murid mencapai kecemerlangan melalui kaedah kelas bercantum, iaitu tahun dua dicantumkan dengan tahun tiga dan tahun empat dengan tahun lima manakala tahun satu dan tahun enam tidak terbabit dalam penggabungan.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 2:18pm
d