mutakhir

Mahkamah Sepang dinaik taraf

Oleh BERNAMA

KOMPLEKS Mahkamah Sepang di Sepang akan dinaik taraf April hadapan membabitkan peruntukan kira-kira RM825,000 bagi meningkatkan tahap kecekapan penyampaian perkhidmatan dan keselamatan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata, selain keseluruhan bangunan dicat, projek itu juga akan membabitkan pembesaran ruang Mahkamah Majistret yang ketika ini agak kecil.

“Keadaan itu menyebabkan majistret terpaksa berkongsi laluan dengan orang awam ketika menuju ke biliknya. Ini perlu diberi perhatian segera kerana membabitkan soal keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Mahkamah Sepang, hari ini.

Projek itu sebahagian daripada projek menaiktaraf dan pemuliharaan 120 bangunan mahkamah di seluruh negara melalui peruntukan RM120 juta yang diumumkan kerajaan pada akhir tahun lepas.

Dalam pada itu, Mohamed Hanipa berkata, semua kes mahkamah membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sebelum ini dikendalikan di Mahkamah Sepang kini dijalankan di mahkamah khas kes PATI di Semenyih, Selangor sejak awal tahun.

“Diharap ia dapat mempercepatkan pelupusan kes membabitkan tangkapan warga asing oleh pihak berkuasa,” katanya, berdasarkan rekod, kes membabitkan PATI di Selangor merekodkan pendaftaran sebanyak 1,000 kes sebulan.

Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum ini menyatakan penubuhan Mahkamah Khas PATI Semenyih bagi mengendalikan kes PATI adalah selaras dengan Akta Imigresen 1959 yang bertujuan mempercepatkan pelupusan kes membabitkan tangkapan warga asing oleh pihak Imigresen.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 3:27pm
d