mutakhir

Dua suspek pukul lelaki ditahan

Oleh Mohd Khidir Zakaria

POLIS menahan dua lelaki disyaki memukul seorang lelaki dipercayai mabuk dan melanggar beberapa kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Kampung Paya, Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, video kejadian mangsa dipukul tiga lelaki itu tular dan polis sudah membuat tangkapan ke atas dua suspek.

“Suspek terbabit ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Port Dickson.

“Klip video berdurasi satu minit tiga puluh saat itu menunjukkan seorang dari tiga lelaki itu memukul mangsa dengan menggunakan kayu.

“Pengadu membuat laporan polis dan pada 7.15 malam, polis menahan dua lelaki berusia 26 dan 40 tahun di Jalan Lama Port Dickson untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan, seorang lelaki dipercayai mabuk ditangkap orang ramai selepas membuat kecoh dan melanggar beberapa kenderaan termasuk sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat di Kampung Paya.

Aidi Sham berkata, siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu terbabit dalam kes pukul mangsa seperti tular dalam Facebook dan media sosial.

“Kedua-dua lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson bagi tujuan mendapatkan perintah tahanan reman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Akmal Salleh di talian 017-4220322 bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 4:19pm
d