mutakhir

Shahrir, Ahmad mengaku tak bersalah [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

BEKAS Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan, di Kuala Lumpur, hari ini, atas tuduhan tidak mengisytiharkan pendapatan mereka masing-masing berjumlah RM2 juta dan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak.

Shahrir, 71, dan Ahmad, 54, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad dan Hakim Azura Alwi.

Terdahulu, Shahrir dan Ahmad dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 8.10 pagi dengan diiringi beberapa pemimpin UMNO antaranya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Noh Omar.

Di hadapan Azura, Shahrir didakwa tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 bertentangan dengan Seksyen 113 (1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui cek AmIslamic Bank Berhad yang dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank miliknya pada 28 November 2013.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur pada 25 April 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya.

Terdahulu, Norzilati menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan dokumen penjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Syahrul Syazwan Salehin yang mewakili Shahrir dalam rayuannya memohon diberikan jaminan rendah dengan alasan beliau seorang pesara dan hanya menyediakan RM100,000 dengan mengeluarkan wang pencennya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM350,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah selain menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Azman, Ahmad yang hadir ke mahkamah memakai kot dan seluar hitam didakwa atas dua pertuduhan pada prosiding bermula 9.45 pagi.

Ahmad didakwa tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 bertentangan dengan Seksyen 113 (1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 yang ditunaikan pada hari sama.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur pada 30 April 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan kedua, Ahmad ketika rakaman percakapan oleh Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Zairi Zainal memberi penyataan palsu seperti berikut:

1. "Berhubung dengan kes ini, saya sahkan saya tidak pernah menerima apa-apa bayaran berbentuk cek atau tunai berjumlah RM2 juta daripada Najib."

2. "Saya sahkan tidak pernah melihat cek yang ditunjukkan kepada saya sebelum ini. Saya juga sahkan tidak pernah menerima cek ini daripada Najib atau daripada sesiapa. Saya sahkan tidak pernah tunaikan cek tersebut di mana-mana bank untuk diri saya."

3. "Saya tidak tahu mengenainya dan tidak pernah tunaikan apa-apa cek milik Najib."

4. "Saya tidak tahu kerana tidak terima apa-apa dana daripada Najib."

5. "Saya tahu tetapi saya tidak menerima apa-apa dana daripada Najib seperti cek berkaitan."

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Sidang Media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, Kuala Lumpur antara 2.45 dan 3.30 petang, 4 Julai 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol menawarkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

"Pertuduhan terhadap tertuduh membabitkan kesalahan serius dan mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad dalam rayuannya menerusi peguam Hamidi Mohd Nor memohon jaminan rendah dengan alasan beliau adalah seorang Ahli Parlimen yang sudah berkhidmat dari 2008 dan tiada risiko untuk melarikan diri.

“Jumlah jaminan yang ditawarkan adalah terlalu tinggi dan tertuduh bersedia untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Mahkamah membenarkan Ahmad diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 21 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 4:24pm
d