mutakhir

Ibu pengsan tiga anak positif dadah

Oleh Melvin Joni

SEORANG ibu pengsan apabila tiga anaknya ditahan pada operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak di sini.

Menurut Ketua Daerah AADK Mukah Felynora Joseph Na, ketiga-tiga anak wanita berkenaan antara 22 individu yang ditangkap kerana positif dadah.

“Ibu berkenaan pengsan apabila tiga anaknya ditahan penguat kuasa AADK pada operasi empat hari oleh AADK Mukah yang berakhir semalam.

“Operasi sekitar kawasan Mukah, Balingian, Igan, Matu, Daro dan Belawai berjaya menahan 22 individu, kesemuanya positif dadah,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Felynora, individu ditahan berusia 14 tahun hingga 48 tahun.

Katanya, lima ditangkap di Mukah, enam di Balingian, empat di Igan, lima di Belawai dan masing-masing satu di Matu dan Daro.

“Enam daripada 22 yang ditahan merupakan pasangan adik-beradik,” katanya.

Felynora berkata, 15 daripada suspek positif methamphetamine, empat positif ganja serta tiga positif methamphetamine dan ganja.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 4:40pm
d