mutakhir

Selangor laksana projek keusahawanan sosial

Oleh Norzamira Che Noh

EMPAT lokasi iaitu Kuala Selangor, Shah Alam serta Bukit Antarabangsa (Selangor) dan Kampong Speu di Kemboja dipilih sebagai kawasan rintis untuk projek keusahawanan sosial dalam pengurangan risiko bencana yang akan dijalankan bermula tahun ini.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata projek berkenaan bertujuan untuk memupuk daya tahan masyarakat dalam jangka panjang terhadap bencana berkaitan perubahan iklim di Malaysia dan Kemboja.

“Ini (daya tahan) boleh dicapai dengan memperkasakan usahawan sosial untuk membangunkan Pelan Daya Tahan Bencana (DRR) menerusi penggunaan sistem maklumat geografi (GIS) serta teknologi sumber orang ramai.

“Projek ini membabitkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan keupayaan dalam tempoh tiga tahun terhadap bahaya muncul cepat banjir kilat, tanah runtuh serta bahaya muncul lambat seperti kenaikan paras air laut dan kemasinan air bawah tanah,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada majlis perasmian bengkel memupuk keusahawanan sosial dalam pengurangan risiko bencana untuk membangunkan komuniti berdaya tahan di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir adalah Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia, Julia Bentley dan Naib Presiden Akademi Sains Malaysia, Tengku Datuk Dr Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim.

Ahmad Fairuz berkata, projek berkenaan turut memperoleh dana sebanyak RM1.5 juta daripada International Development Research Centre (IDRC) iaitu sebuah agensi kerajaan Kanada.

Katanya, Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara di Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRI-UKM) akan menjalankan projek dengan kerjasama Persatuan Geologi Malaysia (GSM), Pertubuhan Perkhidmatan Pengurangan Risiko Bencana Malaysia (MDRRSO) dan Royal University of Phnom Penh di Kemboja.

“Jawatankuasa Pemandu akan diketuai oleh UPBN dan turut disertai Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) Malaysia; Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC); Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dan ASM.

“Manakala untuk kualiti penyelidikan dipantau oleh Jawatankuasa Sains yang terdiri daripada pakar antarabangsa dari Kanada, United Kingdom dan Jepun,” katanya.

Beliau berkata, DRR dijangka dapat membantu kerajaan negeri serta wilayah Kampung Speu membangunkan strategi pengurangan risiko bencana tempatan yang akan memberi manfaat kepada 5.79 juta orang (Selangor, Malaysia) dan 716,517 (Kemboja).

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 5:06pm
d