mutakhir

Artifak berusia 17,000 di Gunung Pulai

Oleh BERNAMA

JABATAN Warisan Negara (JWN) menemui lebih 100 artifak prasejarah zaman Paleolitik dianggarkan berusia 17,000 tahun di beberapa gua di Gunung Pulai, di Baling, Kedah.

Artifak dalam bentuk peralatan batu, pecahan tembikar dan kulit siput sungai ditemui di tapak baharu ekskavasi antaranya di Gua Kelambu, Gua Tembus dan Gua Akar di gunung terbabit.

Pesuruhjaya Warisan yang juga Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd Yusop berkata, artifak itu ditemui ketika jabatannya sedang menjalankan eksplorasi di kawasan berkenaan antara April hingga Oktober tahun lalu.

“Eksplorasi ini bertujuan melaksanakan pendokumentasian dan inventori tapak bagi memperoleh data arkeologi terkini.

“Ia juga bagi mengetahui sebarang kemungkinan jumpaan bukti yang belum diterokai penyelidik terdahulu.

“Penemuan artifak ini membuktikan adanya kehidupan prasejarah di kawasan ini dan memberikan petunjuk baharu mengenai kehidupan mereka suatu ketika dahulu,” katanya, hari ini.

Mesran berkata, eksvasi dan penyelidikan di tapak itu turut disertai Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM).

Beliau berkata, sebahagian daripada artifak sudah dihantar ke Singapura untuk dianalisa dan ditentukan secara tepat usianya.

Menurutnya, jika artifak itu benar-benar berusia 17,000 tahun ia bermakna penempatan di Gunung Pulai adalah antara yang tertua di negeri ini dan lebih tua berbanding di Tapak Arkeologi Sungai Batu, Merbok.

Beliau turut menjelaskan penemuan itu menjadikan Gunung Pulai sebagai tapak arkeologi bernilai tinggi terhadap data arkeologi negara dan sebagai asas dalam mengenali asal-usul masyarakat lampau.

“Ia boleh mempopularkan kawasan ini dan menjadikan Gunung Pulai serta gua di sini sebagai tumpuan pelancong dan penyelidik serta pakar arkeologi,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 5:25pm
d