mutakhir

Rampas alat ganti, aksesori motosikal tiruan

Oleh Mohd Amin Jalil

TINDAKAN pemilik premis menjalankan perniagaan membekal dan menjual alat ganti motosikal tiruan tidak berpanjangan apabila diserbu pihak berkuasa, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, sebanyak 4,500 unit alat ganti dan aksesori motosikal tiruan bernilai RM143,000 dirampas dari premis beroperasi di kawasan Perindustrian Gala, Seremban.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 50-an bagi membantu siasatan.

“Premis terbabit didapati menyimpan alat ganti dan aksesori motosikal disyaki tiruan bagi aktiviti perniagaannya dengan membekal dan menjual alat ganti berkenaan secara borong kepada peniaga di seluruh negara.

“Dalam pemeriksaan dilakukan, lebih 4,500 unit alat ganti dan aksesori motosikal yang menggunakan perihal dagangan palsu dirampas.

“Seramai lapan pegawai penguat kuasa terbabit dalam operasi ini termasuk wakil pemilik Cap Dagang," katanya pada sidang media di pejabatnya di Seremban, hari ini.

Ain Arjuna berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019.

Beliau berkata, hukuman bagi kesalahan menjual barangan tiruan adalah denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap pertubuhan.

“Selain pertubuhan perbadanan, denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun.

“Kami akan bertindak tegas terhadap peniaga yang melakukan kesalahan menjual barangan tiruan dan barang cetak rompak berdasarkan undang-undang ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 7:44pm
d