mutakhir

Bukan kucing tapi bunyi percikan api

Oleh Juwan Riduan

“SAYA cuba padamkan api namun ia semakin marak. Saya terus keluar menyelamatkan diri,” kata Hani Aqilah Jasmi, 15, mangsa kebakaran di Taman Sepanggar di sini, petang tadi.

Terdahulu, Hani Aqilah baru saja hendak menyuap makanan sebelum dikejutkan dengan bunyi bising datang dari bilik.

“Saya sangkakan kucing masuk ke bilik, rupa-rupanya ia bunyi percikan api,” katanya di temui di lokasi.

Kebakaran jam 5 petang itu memusnahkan tiga rumah jenis teres termasuk rumah keluarga Hani Aqilah.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berseorangan di rumah dan baru pulang daripada sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon.

“Saya cuba selamatkan barangan penting namun gagal kerana api marak,” katanya.

Bapa Hani Aqilah, Jasmi Jaya, 38, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu apabila dihubungi oleh jirannya.

“Saya terus bergegas pulang namun tiada apa yang dapat diselamatkan, semuanya musnah terbakar.

“Ketika kejadian, saya sedang bekerja di Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu ketika ditemui di lokasi berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 5.05 petang.

“Kebakaran memusnahkan tiga rumah. Rumah keempat rosak kira-kira 30 peratus.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya jam 6.21 petang,” katanya.

Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 9:04pm
d