mutakhir

Padah 'langgar kawasan'

Oleh Hamzah Osman

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi menahan tujuh nelayan dan merampas sebuah bot pukat jerut kelas C kerana melanggar syarat sah lesen di perairan Langkawi, semalam.

Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bot itu ditahan sepasukan anggota PPM menerusi Op Gelora di perairan Langkawi, jam 3.40 pagi.

Katanya, sebelum kejadian, bot peronda PPM mengesan bot pukat jerut kelas C terbabit sedang menangkap ikan pada jarak 7.9 batu nautika dari Kuala Kedah.

“Kami mendapati bot itu menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan iaitu kurang dari 15 batu nautika dan melanggar syarat sah lesen.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dinaiki empat nelayan warga Thailand berusia antara 19 dan 54 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rosman berkata, turut berada dalam bot itu, tiga nelayan tempatan berusia antara 21 hingga 57 tahun.

“Bot dan nelayan terbabit kemudian dibawa ke Pangkalan Perikanan Kuala Kedah untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PPM akan terus mengadakan operasi dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan penangkapan ikan secara tidak sah di perairan pulau pelancongan itu.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 9:04am
d