mutakhir

7 positif Influenza, SK Stella Maris ditutup

Oleh BERNAMA

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Stella Maris Tanjung Aru di Kota Kinabalu ditutup selama seminggu bermula hari ini selepas tujuh muridnya disahkan positif Influenza.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, enam daripada murid itu diuji positif Influenza A dan seorang murid positif Influenza A (H1N1).

Katanya semua pelajar mendapatkan rawatan di hospital swasta dan klinik swasta di sekitar banda raya Kota Kinabalu dan berada dalam keadaan stabil.

Penutupan SK Stella Maris dibuat atas nasihat Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu disebabkan oleh penularan kluster penyakit Influenza A, katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau menasihati ibu bapa supaya tidak menghantar anak mereka yang sakit ke sekolah untuk mengelakkan berlakunya penularan penyakit ini dalam sekolah.

Dalam pada itu, Poon berkata, kejadian kes influenza di negeri ini adalah terkawal.

Katanya penyakit influenza A (H1N1) kini merupakan sebahagian daripada virus Influenza bermusim biasa, tidak sebagaimana semasa tahun 2009 ketika berlaku kejadian Pandemik H1N1.

“Berdasarkan trend yang direkodkan dari aktiviti pengawasan, terdapat sedikit peningkatan kes Influenza yang dilaporkan semenjak pertengahan Disember tahun lepas,” katanya.

Namun begitu, katanya, peningkatan yang direkodkan masih berada dalam julat normal. Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sentiasa memantau aktiviti influenza sepanjang tahun dan mengesan sekiranya terdapat perubahan luar biasa pada virus influenza ini.

Poon berkata, analisa terhadap virus influenza yang dikesan dari aktiviti pengawasan ini tidak menunjukkan sebarang tanda ianya telah mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza yang baharu.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 11:00am
d