mutakhir

Peluru tembus dari pinggang ke leher [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

“ALLAH bersama kami,” itu jawapan sembilan anak muda pelarian Syria yang cacat anggota badan apabila ditanya bagaimana mereka meneruskan kehidupan.

Sebaik penulis dan sukarelawan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) tiba di rumah disewa mereka baru empat hari lalu, raut wajah pemuda ini tetap tersenyum menyambut kami walaupun menderita.

Ada dalam kalangan mereka terkena tembakan, ada terkena letupan periuk api dan bom sehingga hilang kedua-dua kaki, hilang sebelah tangan serta lumpuh.

Namun, mereka tabah mengharunginya dan saling membantu dan sempat berseloroh bahawa dalam keadaan begini sudah tentu tiada siapa sudi mengahwini mereka.

Pelarian Syria, Anas Abdul Karim, 25, berkata, dia berasal dari Ghutoh, Damsyik melarikan diri ke Idlib selepas kampungnya diserang.

Menurutnya, bagaimanapun ketika berada di Idlib pada 2015 dia ditembak di pinggang sebelum peluru keluar melalui leher.

“Sebaik ditembak saya jatuh tersungkur dan lumpuh dari pinggang ke bawah,” katanya.

Sementara itu, rakannya Abu Khalid, 28, yang hilang kedua-dua kaki kini bekerja menghantar barang bagi menampung hidup dan menghantar wang kepada ibu bapanya yang masih terkandas di Ghutoh, Damsyik.

“Saya harap negara kami kembali aman dan dapat bertemu kembali keluarga tersayang,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 12:01pm
d